Wednesday, July 21, 2010

BINCANGKAN PERKEMBANGAN PERUSAHAAN BIJIH TIMAH DI TANAH MELAYU SEHINGGA TAHUN 1941

Perlombongan bijih timah merupakan kegiatan ekonomi yang tertua di Tanah Melayu, iaitu sejak Kesultanan Melayu Melaka. Kegiatan perlombongan bijih timah telah berkembang dengan pesatnya setelah kehadiran penjajah dan pelabur Barat. Hal ini kerana kehadiran pihak Barat telah menguasai bidang perlombongan. Malahan Barat telah berjaya mewujudkan keamanan di Tanah Melayu. Kehadiran tenaga kerja imigran Cina dan keperluan bijih timah di pasaran antarabangsa menggalakkan permintaan yang tinggi terhadap galian tersebut. Perubahan kaedah perlombongan kepada cara moden, iaitu kapal korek telah berjaya memaksimumkan pengeluaran. Tanah Melayu telah menjadi pusat pengeluar bijih timah yang utama di dunia.
Sejak pertengahan abad ke-19, permintaan terhadap bijih timah telah meningkat, terutama di Eropah dan Amerika Syarikat. Hasil kemajuan teknologi peleburan timah telah meningkatkan penggunaan timah. Industri pengetinan telah meningkatkan penggunaan timah, contohnya tin untuk menyimpan makanan, minuman dan ubat-ubatan. Selain itu, peperangan di Eropah turut memerlukan bekalan timah untuk menghasilkan peluru. Dengan meningkatnya permintaan di pasaran dunia menyebabkan harga timah telah melambung tinggi. Oleh yang demikian, usaha untuk meningkatkan pengeluaran galian tersebut terus meningkat.

Peningkatan hasil perlombongan bijih di Tanah Melayu turut disebabkan oleh kemasukan tenaga buruh Cina yang murah dan mahir, terutama dalam kaedah pam kelikir, Dengan permintaan terhadap bijih timah di pasaran antarabangsa, British di Negeri-negeri Selat telah menggalakkan kemasukan orang Cina dari wilayah Kwangtung dan Fukien. Masalah kekurangan tenaga buruh telah dapat diatasi dengan kemasukan imigran Cina. Orang Cina turut memper­kenalkan roda air untuk mengatasi masalah banjir. Selain itu, terdapat juga kaedah lain yang diperkenalkan oleh pelombong Cina, iaitu menggunakan enjin wap untuk memaksimumkan pengeluaran dan mengelakkan banjir. Kehadiran orang Cina telah meningkatkan pengeluaran timah. Contohnya, pada tahun 1850 hanya 6500 tan bijih berjaya dilombong.lumlah tersebut telah meningkat menjadi 50 000 tan pada tahun 1904.

Kemasukan pemodal asing juga telah meningkatkan pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu. Beberapa syarikat perlombongan asing seperti British dan Perancis telah menjalankan kegiatan mencari bijih timah. Kehadiran syarikat-syarikat Eropah telah memperkenalkan cara baru dalam industri perlombongan. Selain itu, syarikat asing memiliki modal yang banyak untuk menjalankan usaha mencari gali. Hal ini menggalakkan kehadiran para pelabur asing secara langsung untuk memajukan sektor perlombongan di Tanah Melayu. Menjelang tahun 1937, syarikat-syarikat Eropah telah berjaya menguasai 2/3 daripada jumlah pengeluaran bijih timah di Tanah Melayu.

Penggunaan kapal korek dalam perlombongan bijih timah telah menambahkan pengeluaran galian itu di Tanah Melayu. Kaedah tersebut berasal dari Australia. Kaedah ini mula digunakan di Tanah Melayu pada tahun 1912 oleh Syarikat Tin Dredging. Menjelang tahun 1929, terdapat kira-kira 105 buah kapal korek yang terdapat di Tanah Melayu. Kaedah penggunaan kapal korek lebih efesien kerana mampu mengeluarkan bijih yang banyak, selain dapat digunakan di kawasan yang berpaya. Penggunaan kapal korek membolehkan orang Eropah menguasai perusahaan bijih timah di Tanah Melayu.

Perkembangan sistem pengangkutan dan perhubungan, khususnya pembinaan jalan raya dan jalan kereta api meningkatkan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu. Dengan adanya jalan pengangkutan tersebut, kerja-kerja penghantaran bijih ke kilang mahupun ke pelabuhan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat. Hal ini terbukti dengan pembinaan jalan perhubungan awal yang menghubungkan kawasan perlombongan dengan pelabuhan. Contohnya, pada 1885, jalan kereta api telah dibina untuk menghubungkan Taiping dengan Port Weld. Kemudian Kuala Lumpur ke Klang pada tahun 1886, dan pada 1894 menghubungkan Ipoh dengan Teluk Anson. Pembinaan jalan pengangkutan di Tanah Melayu telah berjaya menjana perkembangan ekonomi, khususnya perlombongan bijih timah.

Penemuan kaedah melebur bijih timah yang lebih mudah telah menyebabkan perkembangan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu. Syarikat-syarikat telah menggunakan teknologi yang canggih untuk melebur timah. Mereka telah mendirikan kilang-kilang seperti di Singapura dan Butterworth. Antara syarikat yang menjalankan aktiviti melebur bijih ialah Straits Trading Company dan Syarikat Eastern Company. Syarikat yang terdapat di Tanah Melayu sememangnya pernah menjalankan aktiviti yang sama di negara lain seperti di Thailand, Indonesia, Myanmar dan sebagainya. Timah yang telah dilebur akan dijadikan jongkong timah dan lebih mudah untuk dieksport.

Di samping itu, peningkatan kegiatan perlombongan bijih timah di Tanah Melayu disebabkan oleh campur tangan British secara langsung dalam kegiatan tersebut. Selain itu, British telah menjalankan dasar campur tangan dalam hal ehwal politik di Negeri-negeri Melayu. Dengan penglibatan British di Tanah Melayu, keamanan akan dapat diwujudkan. Hal ini kerana British telah membentuk pasukan polis bagi membendung kekacauan yang ditimbulkan oleh kongsi gelap Cina dan perang saudara di Tanah Melayu. Banyak perubahan yang dilaksanakan oleh British untuk menjaga kepentingan mereka, seperti penggubalan undang-undang yang dilaksanakan melalui pengenalan Sistem Residen di Tanah Melayu.
Kesimpulannya, kemajuan yang dicapai dalam sektor perlombongan bijih timah di Tanah Melayu telah meningkatkan ekonomi secara keseluruhannya. Tidak dapat dinafikan bahawa perlombongan bijih timah telah membangunkan Tanah Melayu. Kegiatan perlombongan bijih timah berkembang dengan pesat akibat daripada penglibatan para pelabur asing. Mereka telah mengeksport bijih timah ke Eropah untuk keperluan industri. Keperluan terhadap bijih timah dalam revolusi perindustrian di Eropah telah meningkatkan permintaan terhadap bahan galian tersebut. Teknologi perlombongan dan peleburan bijih timah telah meningkatkan pengeluaran galian tersebut. Pemodal asing telah memperkenalkan kaedah perlombongan yang lebih sistematik seperti kapal korek. Malahan penghijrahan orang Cina turut menjadi pemangkin ke arah peningkatan hasil keluaran bijih timah. Dengan ini, kemajuan ekonomi Tanah Melayu turut berkembang pesat pada abad ke-20.

1 comment: