Wednesday, July 27, 2011

Jelaskan Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Perkembangan Sistem Ekonomi Komersial di Myanmar Dan Indonesia Pada Abad Ke-19.

Meskipun sistem ekonomi sara diri merupakan amalan ekonomi utama di negara-negara Asia Tenggara sebelum kedatangan orang Eropah,namun tidak bermakna mereka belum pernah menjalankan ekonomi bercorak komersial.Umumnya,masyarakat Asia Tenggara telah pun bergiat aktif dalam aktiviti ekonomi komersial yang lebih bersifat tradisional.Aktiviti ini adalah berlandaskan kepada perdagangan yang melibatkan kawasan persekitaran dan juga kawasan luar.Didorong oleh kedudukan geografi Asia Tenggara yang dianggap strategik iaitu terletak di tengah-tengah perjalanan antara Timur dan Barat telah memudahkan hubungan perdagangan dilakukan.Pada awalnya,hubungan dagangan dilakukan dengan kerajaan-kerajaan di Asia Tenggara sahaja,kemudiannya berkembang dan melibatkan negara luar seperti China,India dan negara-negara Arab.Perdagangan tradisional dilakukan secara sistem barter atau pertukaran barangan,seterusnya melibatkan penggunaan mata wang sebagai media pertukaran utama.
Ekonomi komersial ialah kegiatan ekonomi yang dilakukan bukan sekadar mencukupi keperluan kehidupan sekeluarga sahaja.Kegiatan ini memerlukan lebihan hasil sebagai asas pertukaran atau penjualan barangan.Sistem ekonomi komersial berkaitan dengan aktiviti jual beli barangan bagi memenuhi keperluan hidup masing-masing.Sebelum kedatangan kuasa barat,kegiatan ekonomi perdagangan telah membawa kepada wujudnya kerajaan-kerajaan penting di Asia Tenggara.Sebagai contoh ialah kerajaan Angkor,Annam,Dvaravati,Melaka,Acheh,Majapahit,Srivijaya,Sulu,Patani dan sebagainya.Kemasyhuran kerajaan-karajaan tersebut bergantung sepenuhnya terhadap kemajuan ekonomi komersial yang dijalankan.Di Indonesia,terdapat beberapa kerajaan penting yang lebih terkenal,contohnya kerajaan Majapahit,Srivijaya dan Acheh.Sementara di Myanmar pula wujud kerajaan konbaung.
Walau bagaimanapun,perkembanagn sistem ekonomi komersial pada abad ke-19 ternyata jauh berbeza daripada amalan ekonomi komersial sebelum ini.Sama ada di Indonesia mahupun Myanmar,menjelang abad ke-19,sistem ekonomi negara-negara itu adalah dikuasai oleh kuasa-kuasa barat yang bertindak sebagai kuasa kolonian dan memonopoli kesemua hasil negara. Di Indonesia,sistem ekonominya di kuasai oleh penjajah Belanda dan di Myanmar di kuasai oleh penjajah Inggeris. Walaubagaimanpun, dasar ekonomi imperialis barat telah mewujudkan sistem ekonomi dual yang menekankan kepada pengeluaran bahan mentah untuk jualan di samping mengekalkan ekonomi tradisi yang berasaskan sara diri. Ternyata pada masa yang sama,hasil-hasil pertanian masih menjadi sumber terpenting dalam sistem ekonomi komersial sama adad di Myanmay mahupun di Indonesia.
Myanmar dan Indonesia telah melalui perkembangan sistem ekonomi komersial yang pesat pada abad ke-19. Perkembangan pesat dalam aktiviti ini sebenarnya didorong oleh beberapa faktor. Langkah awal yang dilakukan oleh kuasa-kuasa barat ialah berusaha untuk menguasai politik di Myanmar dan Indonesia bagi membolehkan mereka menguasai sepenuhnya ekonomi Negara-negara tersebut dan menjananya kearah perkembangan yang lebih pesat.Di Myanmar, pihak berkuasa Inggeris telah berjaya menegakkan kekuasaan mereka melalui tiga siri peperangan yang akhirnya telah menamatkan pemerintahan tempatan di bawah Dinasti Konbaung. Sejak tahun 1886, Inggeris telah berjaya menguasai politik di Myanmar. Keadaan yang sama turut berlaku di Indonesia. Di samping melancarkan serangan,pihak Belanda telah berjaya menguasai seluruh Indonesia melalui helah politik yang di perolehi dengan menandatangani perjanjian dengan pemerintah tempatan yang membawa kepada penyerahan wilayah kepada kekuasaan Belanda. Dengan adanya kuasa politik dalam gengaman mereka,maka lebih mudah bagi kuasa-kuasa barat ini mengeksploitasi ekonomi tempatan.
Kejayaan Inggeris dan Belanda menarik kehadiran pemodal-pemodal asing ke Myanmar dan Indonesia turut menyumbang kepada perkembanagn ekonomi yang pesat di kedua-dua Negara tersebut. Kehadiran pemodal-pemodal Eropah ini bukanlah secara persendirian,akan tetapi dalam bentuk syarikat-syarikat besar yang sangat mementingkan keuntungan. Dengan modal yang besar, mereka mampu menjana sistem pertanian di Myanmar dan Indonesia secara perladangan yang melibatkan keluasan kawasan yang lebih besar. Ketika ini, pemodal asing tidak hanya memberikan perhatian serius kepada hasil-hasil tradisi yang sedia ada di Myanmar dan Indonesia seperti pengeluaran padi dan beras, malah melibatkan tanaman kontang yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi di Eropah seprti tebu, kopi, teh, tembakau ,kapas dan sebagainya. Di Indonesia, sistem ekonomi komersial berkembang dengan pesat selepas pengenalan sistem kultur atau sistem tanaman paksa (1830-1863). Sistem ini mengutamakan tanaman dagangan seperti tebu, lada hitam ,kopi, kina dan nila. Tanaman dagangan baru seperti teh, tembakau dan kapas turut diperkenalkan. Sistem ekonomi komersial di Indonesia semakin maju dibawah perlaksanaan Dasar Liberal 1863 dan Dasar Etika 1900.
Tumpuan telah diberi kepada tanaman eksport untuk pasaran di Eropah seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan koko. Kemajuan yang dicapai ini adalah atas bantuan modal asing yang melaburkan wang bagi mengembangkan ekonomi yang ada. Sebagai contoh, Syarikat Deli Maatschappij telah membantu memajukan lading tembakau di Deli, Sumatera.
Selain sektor pertanian, pemodal serta syarikat-syarikat Eropah ini juga turut terlibat dalam sektor perlombongan. Hasil perlombongan telah membantu memesatkan lagi ekonomi di kedua-dua buah negara. Bahan mentah yang menjadi tumpuan utama syarikat-syarikat Eropah ialah perlombongan bijih timah, arang batu, petroleum, gas asli, plumbum, perak dan sebagainya. Sememangnya bahan-bahan ini mendapat harga yang cukup tinggi di pasaran Eropah bagi memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian. Di Myanmar, aktiviti mencari gali petroleum dijalankan oleh Syarikat Burmah Oil, British Burma Petroleum dan Burma Shell yang menguasai 98% daripada pengeluaranm petroleum Myanmar. Kawasan pengeluaran petroleum utama di Myanmar ialah di sekitar Chauk dan Yenangyang. Plumbum dan perak dilombong di Lashio oleh Syarikat Burma Corporation. Sementara di Indonesia pula, aktiviti cari gali petroleum dilakukan oleh Syarikat Diraja Belanda pada tahun 1890, Syarikat Minyak Dordrecth pada tahun 1881 dan Syarikat Standart Oil. Syarikat Bijih Timah Belitung pula menjalankan aktiviti melombong bijih timah di Kepulauan Belitong.
Perkembangan ekonomi komersial di Myanmar dan Indonesia turut dipengaruhi oleh perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah. Keperluan terhadap bahan mentah yang tinggi bagi memenuhi permintaan dari kilang-kilang di Eropah memaksa penjajah Inggeris dan Belanda menjadikan Myanmar dan Indonesia sebagai pengeluar bahan mentah yang utama. Myanmar telah mengusahakan tanaman kapas secara meluas bagi memenuhi permintaan kilang-kilang tekstil di Britain, sementara Indonesia mengeluarkan getah bagi membantu memesatkan lagi industri automobile di Netherlands dan lain-lain negara Eropah.
Penggunaan teknologi serta peralatan-peralatn yang lebih moden memesatkan lagi perkembangan ekonomi komersial di Myanmar dan Indonesia. Di Myanmar, penanaman padi dijalankan dua kali setahun dengan bantuan teknologi perairan serta sistem saliran yang moden. Sistem empangan yang dibina merentasi Sungai Irrawaddy membolehkan penanaman padi di Myanmar dijalankan secara intensif dan tidak lagi perlu bergantung kepada air hujan semata-mata. Manakala di Indonesia pula telah berlaku perkembangan pesat dalam aktiviti pertanian dengan bantuan penggunaan baja kimia. Selain iti, teknologi ‘Botanical Garden’ telah menjadikan tanaman kuinin sebagai tanaman utama di Pulau Jawa.
Selain itu, kepesatan ekonomi komersial di kedua-dua buah negara juga turut dikaitkan dengan adanya bekalan tenaga buruh yang banyak dan murah. Di Myanmar telah berlaku kemasukan buruh-buruh India dengan jumlah yang ramai. Mereka memainkan peranan penting dalam pertanian ladang dan sebahagiannya pula bekerja sebagai buruh bagi membina jalan raya dan jalan kereta api di Myanmar. Hal ini kerana, sistem pengangkutan moden turut memesatkan lagi perkembangan ekonomi komersial. Keadaan yang sama turut berlaku di Indonesia. Buruh-buruh China telah dating beramai-ramai terutamanya dari Sumatera dan Pulau Jawa serta melibatkan diri dalam sektor pertanian, perlombongan, dan perdagangan.
Kesimpulannya, perluasan ekonomi komersial telah mengalami perkembangan pesat di bawah penguasaan orang-orang Eropah. Walau bagaimanapun, ekonomi imperialis telah meninggalkan beberapa kesan buruk terhadap ekonomi tradisi. Di Myanmar dan Indonesia, ekonomi tradisi seperti menenun kain, ukiran kayu dan logam telah mengalami kemerosotan.

1 comment: