Monday, August 1, 2011

“Sebelum Campur tangan British di negeri2 Melayu, golongan pembesar Melayu mempunyai kuasa politik,ekonomi dan sosial dalam pemerintahan” Bincangkan.

Golongan pembesar merujuk kepada sekumpulan pentadbir kerajaan. Pembesar mempunyai peranan dan status yang istimewa dalam sistem politik masyarakat Melayu. Jawatan pembesar merupakan jawatan lantikan daripada sultan. Pembesar akan menjadi pentadbir di setiap daerah atau wilayah. Pembesar akan bertindak sebagai tulang belakang yang menggerakkan pentadbiran Negeri-negeri Melayu. Golongan pembesar bukan terdiri daripada kerabat diraja. Mereka memperoleh hak memerintah di sesebuah daerah melalui tauliah daripada sultan. Mereka juga mendapat cop mohor daripada sultan dan memegang jawatan pembesar seumur hidup. Apabila meninggal dunia, jawatan tersebut akan diambil alih oleh anak lelakinya.

Dalam aspek politik, golongan pembesar Melayu merupakan orang kanan raja atau sultan bagi setiap negeri Melayu. Sultan akan melantik pembesar untuk menjalankan tugas pentadbiran. Golongan pembesar menduduki hierarki kedua dalam struktur pentadbiran negeri Melayu. Lazimnya terdapat jawatan pembesar yang dikenali sebagai pembesar empat lipatan. Pembesar akan menjalankan tugasnya sebagai pentadbir kerajaan. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan pembesar akan menjadi penasihat kepada raja dalam hal pemerintahan negeri.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa golongan pembesar memainkan peranan yang sangat penting dalam urusan kehakiman dan undang-undang negeri. Pembesar mempunyai tugas untuk menasihati sultan berkaitan dengan penghakiman terhadap kesalahan-kesalahan jenayah dan sivil. Pada peringkat daerah, pembesar bertanggungjawab menjadi hakim. Malahan golongan pembesar akan terlibat secara langsung dalam penggubalan undang-undang negeri. Golongan pembesar Melayu akan diberikan daerah pentadbiran masing-masing. Tanggungjawab seorang pembesar sangat besar terhadap daerah jajahannya. Mereka bukan sahaja memberikan laporan kepada sultan tentang daerah masing-masing tetapi juga akan menjaga keamanan, kesejahteraan dan kebajikan semua penduduk dalam daerah jajahannya. Pembesar akan melaporkan kepada sultan berkaitan dengan semua perkara yang berlaku di daerah jajahannya. Malahan segala amanat daripada sultan akan disimpaikan oleh pembesar kepada anak-anak buahnya dalam daerah jajahannya.
Di samping itu, golongan pembesar juga mempunyai peranan penting dalam hal ehwal istana, terutama yang berkaitan dengan keagamaan dan adat istiadat diraja. Golongan pembesar biasanya akan mengetuai upacara-upacara adat istiadat istana dan diraja.
Golongan pembesar mempunyai peranan penting dalam bidang ekonomi sebagai pemungut cukai bagi pihak sultan. Pembesar daerah akan memastikan bahawa semua rakyat dalam daerah kekuasaannya akan membayar cukai kepada sultan. Pembesar memungut cukai kerajaan atas kuasa yang diberikan oleh sultan kepadanya. Contohnya di negeri Perak, pembesar menggunakan kebijaksanaannya untuk memungut cukai di daerah Kinta. Cukai terhadap barangan yang dibawa melalui Kuala Kinta ditetapkan sebanyak $1.00 bagi setiap pikul, $12.50 sen bagi setiap pikul kulit haiwan dan $4.00 untuk setiap bahara bijih timah. Setiap tahun, pembesar akan menghantar "Orang Kalur" untuk melawat kampung bagi mengutip cukai sebanyak $0.50 sen per keluarga sebagai tanda kekuasaan bendahara.

Golongan pembesar juga terlibat dalam menjalankan aktiviti perdagangan, terutama yang melibatkan urusan-urusan kerajaan. Terdapat pembesar yang akan mengendalikan urusan perdagangan, khususnya di pelabuhan-pelabuhan. Antara pembesar yang bertanggungjawab menjaga aktiviti perdagangan ialah syahbandar. Di samping mengutip cukai daripada pedagang luar, syahbandar bertanggungjawab memastikan kegiatan perdagangan berjalan dengan baik. Selain itu, syahbandar juga berperanan memastikan segala kemudahan di kawasan perniagaan dan pelabuhan sentiasa sempurna seperti gudang dan sebagainya.

Secara tidak langsung golongan pembesar akan bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi negeri. Memandangkam pada masa tersebut kegiatan ekonomi bergantung sepenuhnya pada bidang pertanian, maka pembesar akan memastikan kegiatan tersebut berjalan dengan baik. Hal ini berkait rapat dengan hasil ekonomi yang akan diperoleh kerajaan.

Di samping itu, golongan pembesar akan terlihat dengan urusan-urusan yang berkaitan dengan sistem timbang-sukat dan mata wang. Golongan pembesar akan memastikan semua sistem timbang sukat yang sah sentiasa diguna pakai dalam semua urusan perdagangan. Malahan penggunaan mata wang di setiap negeri dalam urusan perdagangan akan sentiasa dipantau oleh pembesar-pembesar yang dilantik oleh sultan.

Dalam aspek sosial, golongan pembesar Melayu merupakan penghubung antara sultan dengan rakyat jelata. Golongan pembesar juga akan sentiasa memastikan bahawa rakyat akan menjunjung duli ke atas sultan atau raja yang memerintah negeri. Pembesar akan sentiasa mendapat amanat daripada sultan untuk disampaikan kepada rakyat jelata. Malahan rakyat menganggap pembesar sebagai tempat untuk mengadu masalah yang dihadapi oleh mereka supaya mendapat bantuan dan perkenan daripada sultan.
Pembesar juga bertanggungjawab membekalkan tenaga buruh dan tentera kepada sultan dalam sistem kerahan tenaga. Dalam masyarakat Melayu tradisional, amalan menghambakan diri kepada sultan merupakan sesuatu yang dituntut. Pembesar berhak untuk memanggil rakyat jelata supaya berkhidmat kepada sultan pada bila-bila masa apabila diperlukan. Antara aktiviti sering kali digunakan oleh golongan pembesar ialah ketika membina istana, masjid atau perayaan yang diadakan di istana.

Kesimpulannya, golongan pembesar Melayu mempunyai kedudukan yang islimewa dalani sistem pemerintahan Negeri-negeri Melayu. Golongan pembesar merUpakan "orang paling selepas sultan atau raja dan memainkan peranan yang sangat penting. Dalam aspek politik, golongan pembesar merupakan pelaksana semua dasar dan arahan daripada sultan. Malahan golongan pembesar sentiasa menjadi orang, kepercayaan sultan dalam pemerintahan negeri. Campur tangan British pada tahun 1874 dan pengenalan sistem Residen telah menjejaskan kedudukan pembesar-pembesar Melayu dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment